followers :)

3 November 2012

.Kematian bukan suatu Kemungkinan.

Seorang isteri bercerita. Pagi itu berlaku sedikit perselisihan faham dengan suaminya. Bagi menunjukkan tanda protes, dia tidak menoleh sedikit pun ketika suaminya melangkah keluar pergi berkerja. Sedangkan pada hari-hari sebelumnya dia akan menghulurkan tangan memperbetulkan tali leher atau kolar baju di samping mencium mesra tangan suaminya. Sekuntum senyuman manis terukir di bibir seorang wanita yang bergelar isteri. Itulah yang sentiasa dipesan oleh ibunya. Itulah yang dilakukannya sejak dia bergelar seorang isteri.

Namun pada hari itu, perasaannya sedikit terluka dan itu perlu ditunjukkan kepada suaminya. Itulah yang ada dalam fikirannya. Tengah hari itu ketika perasaannya masih sebal tetapi tertunggu-tunggu panggilan telefon daripada suaminya yang berhelah bertanya khabar tetapi sebenarnya ingin memohon maaf. Seikhlasnya ketika itu nalurinya ingin benar menutur bicara meluah rindu buat suami tercinta.

Telefon berbunyi, hati berbunga. Tetapi jangkaannya meleset sama sekali. Itu bukannya panggilan daripada suami sebaliknya panggilan dari balai polis yang memintanya segera ke hospital. Dia perlu datang bagi membuat pengecaman kepada mayat seseorang yang hancur akibat suatu kemalangan yang dahsyat.

Dan benarlah. Itulah sekujur tubuh milik suaminya yang melangkah keluar dari rumah pagi tadi tanpa dia menoleh kepadanya.

Yang pergi dengan sekelumit kesedihan kerana kolar bajunya yang tidak dibetulkan.
Yang tidak sempat pun bersalaman buat kali terakhir.
Yang hanya memendam rasa cinta yang mendalam.
Yang melangkah pergi buat selama-lamanya.
Isteri itu kini hanya mampu menangis, menangis dan menangis lagi.

Kisah seperti ini berlaku dimana-mana disekeliling kita dengan pelbagai corak dan episod yang berbeza-beza. Kita melihat, mendengar dan merasai gawatnya setiap hari. Apa yang pasti ia menjelaskan tentang realiti, menceritakan tentang hakikat. Itulah pengakhiran hidup manusia.

Sekiranya kita diberi peluang kita mungkin ingin meminta suami itu tidak diambil nyawanya pada hari itu. Apa salahnya jika diberi ruang baginya untuk pulang terlebih dahulu, paling tidak untuk bersalaman dengan isteri yang sedang menunggu. Namun yang jelas itu bukan di bawah kuasa kita. Ia diluar batas upaya dan tadbir manusia.

Persoalannya kenapa kita tidak sedar akan mesej ini?


Sekiranya ia berlaku pada orang lain, bukankah ada kemungkinan akan berlaku juga kepada kita? Kita tidak boleh beralasan hanya kerana kita tidak tahu bila, dimana dan bagaimana, lalu kita tidak mahu memikirkannya. Tidak bersedia sama sekali untuk memikirkan detik tersebut.

Hakikatnya kita tidak disuruh untuk takut kepada kematian, Cuma kita perlu bersedia, sama juga kita bersiap sedia atas sebarang kemungkinan dalam kehidupan. Apatah lagi kematian bukan suatu kemungkinan tetapi suatu kepastian. Tentulah perancangan dan persiapannya patut lebih hebat lagi.

Sekiranya dapat difahami, ia akan menjadi guru yang sentiasa mengingatkan kita. Samalah seperti kita mengunci penggera jam, ia boleh menyedarkan dan membangunkan kita.Sebenarnya tiada guru sebaik kematian!


#Dipetik dari buku ‘U Turn Ke Jalan Lurus’ Oleh Zul Ramli M.Razali

" Fikir kematian seperti mengaktifkan penggera jam. Dengannya kita terus terjaga tanpa terlena"

No comments: